Assalamualaikum.
Musim cuti sekolah sudah berakhir. Maka berakhir sudah musim kenduri-kendara. Apa yang ingin saya kongsikan kali ini ialah mengenai darjat semasa majlis perkahwinan.
Menjadi adat dalam masyarakat Melayu menyediakan bunga telur sebagai tanda ingatan. Jika dahulu bunga telur sudah mencukupi, hari ini pelbagai jenis cenderahati yang berbeza bentuk dan rupa menjadi pilihan bergantung kepada kemampuan, citarasa serta kesederhanaan pihak rumah pengantinnya.
Jika dahulu satu jenis cenderahati atau bentuk bunga telur sudah mencukupi, hari ini pihak tuan rumah biasanya menyediakan beberapa bentuk cenderahati. Sebagai contoh, si polan A mengadakan majlis perkahwinan sempena perkahwinan anak bongsu kesayangannya. Cenderahati berupa :
1. Bunga telur untuk orang dewasa dan manisan untuk kanak-kanak.
2. Beg kertas berisi bunga telur, kuih baulu dan kerepek.
3. Beg kertas berisi bunga telur, mug kecil, kuih baulu dan kerepek.
Cenderahati jenis 1 diberi kepada kebanyakan tetamu yang hadir, cenderahati jenis 2 diberi kepada rakan akrab serta saudara-mara manakala cenderahati jenis 3 diberi kepada mereka berpangkat Datuk dan sebagainya. Itu sebagai contoh sahaja.
Renungkan kembali. Apa tujuan majlis tersebut diadakan? - untuk menghebahkan mengenai ikatan sah yang baru terjalin. Apa pula tujuan para tetamu dijemput hadir? - untuk memeriahkan majlis perkahwinan berkenaan.
Tujuan yang sama, niat yang satu, tetapi mengapa berbeza pula cara layanan yang diberikan? Pangkat? *senyum*
Difahami sekiranya tuan rumah menyediakan 'extra' untuk rombongan pengantin yang diraikan serta saudara-mara, tetapi di mana pula relevannya perbedaan dalam cara meraikan tetamu-tetamu kesemuanya? Adakalanya mereka yang berdarjat 'rendah' itu amat jauh perjalanannya demi meraikan pihak tuan rumah. Ada yang terasa? Siapa tahu?
Jika tidak mampu menyediakan tanda ingatan yang tampak gah untuk semua tetamu, bersederhanalah kepada semua. Tidak perlu terikut-ikut dengan trend semasa. Jangan sampai satu masa nanti jenis kad undangan juga berbeza mengikut darjatnya..
Seperti biasa di akhir kata, semua ada pandangan masing-masing.
